Waktu Solat

Thursday, July 9, 2009

Hudud: Undang-undang yang paling rasional


Hudud: Peraturan Allah yang mutlak
Adaptasi daripada buku as-Syahid Sayyid Al-Qutb

Hanya Allah sahaja berhak menunjukkan sistem dan peraturan bagi kehidupan manusia. Oleh itu manusia seharusnya mengimplikasikan sistem ini ke dalam dunia realiti. Jika diteliti, sistem ini sebenarnya menjaga dan memelihara sifat kemuliaan insan dengan memberikan kemerdekaan serta mengelak manusia daripada diperkotak-katikkan oleh taraf kehidupan.

Kemerdekaan bermaksud menjauhkan manusia daripada menjadi hamba hawa nafsu, kelemahan jiwa, ketamakan dan ketidakadilan yang seterusnya akan membawa kepada kemenangan dalam erti kata sebenarnya iaitu ketaatan dan kepatuhan kepada agama.

Sesungguhnya sistem Allah adalah sesuai sepanjang zaman dan universal berbanding sistem yang dicipta oleh manusia yang terbatas daripada segi akal dan pemikiran. Ketiadaan tujuan hidup hanya akan membawa kepada kesengsaraan, ketakutan dan kegelisahan di mana mereka menjadikan wang, kelazatan dunia sebagai Tuhan.

Ini jelas menunjukkan kebanyakan manusia sekarang menjadi hamba kepada dunia materialistik bukan lagi kepada Tuhan yang Maha Esa di mana itu bukanlah erti ketamadunan yang sebenar bahkan mereka benar-benar telah kembali ke era jahiliyah di zaman moden. Ketamadunan bukan hanya diukur melalui materialistik dan kemodenan semata-mata tetapi ia juga perlu diselitkan dengan kebersihan hati nurani dan nilai-nilai spiritual.

Orang yang menentang syariat Islam adalah sebenarnya orang yang merasakan bahawa peraturan tersebut akan mengikat dan membelenggu manusia daripada mengikuti hawa nafsunya walhal pada hakikatnya di sebalik kekangannya ada terselit kebebasan. Sebagai contoh, perbuatan zina adalah haram untuk membebaskan manusia daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri adalah untuk membebaskan manusia daripada sikap kedekut dan tamak.

Namun tanpa disedari oleh manusia, dosa dan kejahatan yang sebenarnya merupakan belenggu yang mengikat jiwa manusia dan menjadi beban serta menjerumus manusia ke dalam lembah kesesatan. Kita menjadi hina kerana mengikut sistem ciptaan manusia yang sentiasa terburu-buru untuk melihat hasilnya dalam masa yang singkat. Tidak hairanlah apabila munculnya sistem atau peraturan manusia yang baru akan muncul pula masalah baru.

Kesimpulanya, sistem Islam yang diwahyukan Allah kepada rasul-rasulnya adalah sistem yang paling efektif kerana ia dilakukan secara berperingkat-peringkat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails