Kelebihan melakukan korban dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang dikorbankan.
Amalan bersedekah pupuk suasana harmoni, kasih sayang sesama umat
HARI Raya Haji dikenali juga sebagai Hari Raya Korban dan ia adalah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijjah mengikut takwim Hijrah.
Hari raya ini juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada saat ini, jutaan umat Islam datang dari seluruh pelosok dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah ayat 196).
Pada hari ini, umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail demi kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap perintah Allah SWT.
Di samping itu melalui peristiwa ini jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga.
Ibadat ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang fakir dan miskin.
Dari segi kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT dalam melakukan ibadat ini ialah mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT, dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat manakala bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
Kelebihan ibadat korban dari aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan pula ialah dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim, melahirkan sikap penyayang dan memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.
Menyedari akan kelebihan ibadat korban itu, maka kita seharusnya berlumba-lumba dan segera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya, di samping memperbetulkan niat agar segala amalan kita diterima oleh Allah SWT demi kebahagiaan di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment