Waktu Solat

Tuesday, November 17, 2009

Pakaian halal tetapi haram


HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.

Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Biasanya pakaian remaja kita sekarang ini sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails