Waktu Solat

Saturday, July 16, 2011

Nisfu Syaaban 2011 | Keistimewaan bulan Syaaban


BULAN Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam sama seperti bulan lain yang turut mempunyai kelebihan sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah.

Syaaban adalah antara bulan paling dicintai Rasulullah SAW dan Baginda akan lebih banyak berpuasa pada bulan ini. Amalan Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan ia juga latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.

Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.

Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyak puasa sunat, bertaubat dan beristiqhfar kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan, memperbanyak zikir dan berdoa. Zikir ialah ucapan dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati membesar serta mengagungkan Allah.

Ini bersesuaian dengan janji Allah bahawa orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

Selain itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan pada bulan Syaaban sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama pada waktu malam dan bersedekah.

Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

Kita boleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

Kesimpulannya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

No comments:

Related Posts with Thumbnails