Waktu Solat

Friday, July 22, 2011

Ramadhan datang lagi




Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang cukup istimewa kepada keseluruh hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu adalah berkaitan fadhilat fadhilat yang banyak didalam bulan suci Ramadhan al mubarak tersebut. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati kita akan melonjak, roh akan bersinar dan juga bercahaya...


Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan al mubarak ini, maka sehari-harian dalam bulan Ramadhan tersebut adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Dengan demikian, marilah kita bersama sama dengan niat yang tulus dan hati yang suci murni mengangkat tangan dan berdoa agar Allah swt membimbing kita melakukan puasa dengan penuh saksama agar mampu membentuk insan yang taat kepadanya.

Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan yang tunduk patuh bukanlah perkara yang agak mudah, kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa.

MARTABAT PERTAMA ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa.
MARTABAT KEDUA pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum.
MANAKALA MARTABAT KETIGA puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati tuhan yang esa. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat yang hebat dan juga cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah sewajarnya menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti yang tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.

Hakikatnya puasa yang melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelakkan diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan juga dosa.



Puasa Ramadhan adalah jalan menuju kepada ketaqwaan. Selari dengan matlamat ini saya menyeru, marilah kita bersama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:

1. Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.
2. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan kasihanilah kepada anak-anak yatim.
3. Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang yang berpuasa.
4. Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan berselawat ke atas nabi SAW.
5. Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir atau berboros.
6. Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat tuhan serta redha dengan segala ketentuan-ketentuanNya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails