Ulama memperincikan riya' kepada beberapa peringkat:
1. Riya' yang jelas iaitu yang menjadi pendorong kuat kepada amalan dan ibadat seseorang. Jika tidak kerana adanya riya', seseorang itu tentu tidak melakukan amal ibadat terbabit.
2. Riya' yang tidak jelas dan tersembunyi. Jika kerana riya' saja dia tidak melakukan ibadat, misalnya seorang yang biasa bersolat tahajud, kadangkala diselubungi kemalasan, tetapi apabila ada teman atau tamu bangun beribadat malam dia menjadi rajin pula.
Ibadatnya itu didorong sedikit oleh riya' yang tidak jelas dari dalam dirinya. Riya' yang tidak jelas ini menurut ulama, tidak membatalkan pahala asal, tetapi menjejaskan nilai pahalanya mengikut kadar riya' terbabit.
3. Riya' yang lebih tersembunyi dan terlalu samar. Riya' ini bukan yang mendorong amal ibadat atau berasa ringan untuk beribadat, namun sifat itu terpendam di dalam diri.
Jenis ini hanya boleh diketahui dan dikenali melalui tandanya seperti berasa bangga dengan pujian.
Misalnya, seseorang itu melakukan ibadat secara ikhlas, tanpa ada dorongan riya', malah benci kepada sifat terbabit, tetapi apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira.
Jika gembiranya semata-mata sebagai tabiat fitrah manusiawi dan tidak mengharapkan amalannya itu diketahui orang, riya' seperti ini tidaklah merosakkan pahala amalan terbabit.
Ada yang lebih tersembunyi dari itu, hanya dapat disedari mereka yang mempunyai hati bersih lagi halus sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w bahawa riya' lebih tersembunyi daripada rayapan kaki semut hitam di waktu malam.
Semua ini untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada daripada terperangkap dengan riya'.
Jika mengatasi riya' yang jelas, belum tentu terselamat dari riya' yang kurang jelas, malah jika di peringkat terbabit janganlah pula berasa diri terselamat dari segala bentuk riya'.
No comments:
Post a Comment